GSAYS mahu jumpa Khalid
KUALA LUMPUR - Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) mahu bertemu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengingatkan pihak Kerajaan Negeri Selangor betapa pentingnya Asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan di sini buat pendidikan anak-anak Melayu, berikutan rancangan perobohan yang tetap akan dilaksanakan pihak Yayasan Selangor (YS).

Penyelarasnya, Badrul­za­man Baharuddin berkata, sebelum ini beliau telah menghantar memorandum ke pejabat Khalid supaya Kerajaan Negeri menimbang semula rancangan merobohkan asrama berkenaan, namun ia tidak dilayan.

Menurutnya, pihaknya sedar peluang mereka tipis untuk memastikan rancangan tersebut tidak dilaksanakan kerana kini, pihak YS membuka tender kepada pemaju bagi membangunkan kawasan tersebut.

“Disebabkan rancangan tersebut, ramai ibu bapa kecewa dan mengambil keputusan mengeluarkan anak mereka daripada asrama YS.

“Malah kini, Asrama Toh Puan Norashikin (asrama perempuan) telah dikosongkan dan menunggu masa untuk dirobohkan dan baki pelajar yang ada ditempatkan di Asrama Tun Dr Ismail yang sebelum ini menempatkan pelajar lelaki,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, berhubung pemindahan pelajar dari Asrama Toh Puan Norashikin itu, pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa yang melahirkan rasa kecewa terhadap keadaan di Asrama Tun Dr Ismail.

“Pelajar lelaki dipindahkan ke satu bangunan lain yang sebelum ini dijadikan makmal bahasa. Kemudahan yang ada tidak mencukupi serta ketidakselesaan yang dihadapi anak mereka antara yang disuarakan pihak ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Alumni Asrama YS, Alizan Mohd Nawawi berkata, hasrat Kerajaan Negeri meneruskan rancangan merobohkan kedua-dua asrama tersebut diibaratkan seperti membunuh prestasi pendidikan pelajar sedia ada.

Katanya, persaingan yang ada dalam kalangan pelajar yang menghuni asrama tersebut menjadikan setiap pelajar lebih cenderung memastikan prestasi mereka sentiasa cemerlang tanpa dipengaruhi persekitaran lain yang mungkin memberi kesan negatif terhadap prestasi mereka.

“Jika anak cemerlang ini terpaksa mengikuti pengajian di sekolah luar bandar, persaingannya tidak akan sama seperti pelajar di sini dan situasi tersebut mampu memberi kesan negatif terhadap prestasi pelajaran pelajar itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Asrama YS, Mohd Zaidi Barkis mengakui turut menerima aduan berhubung ketidakselesaan pelajar lelaki di asrama baru mereka.

Katanya, dia juga mempunyai anak lelaki tingkatan empat yang masih menghuni di asrama tersebut dan mendapat makluman berhubung kemudahan yang tidak mencukupi.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1979 bertujuan memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.